Monday, October 6, 2008

grafik..

Grafik merupakan antara media yang paling utama dan popular digunakan bagi memperlihatkan keterampilan sesebuah aplikasi multimedia. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, grafik membawa maksud ‘perkara berkenaan lukisan atau ukiran’. Dalam hal ini, penggunaan grafik dalam sesuatu persembahan maklumat berkomputer adalah bukan hanya berperanan untuk menonjolkan keindahan atau kecanggihan senibina sesebuah program multimedia tetapi juga berperanan sebagai suatu sumber penyampaian sesuatu maklumat yang amat berkesan. Grafik juga memberikan maksud penggunaan visual untuk menerangkan konsep yang tidak dapat atau sukar diterangkan oleh teks. Ia mampu menambah daya tarikan kepada sesuatu paparan atau persembahan. Grafik juga dapat mempercepatkan penyampaian sesuatu maklumat dan dapat memberikan penerangan yang jelas, tepat dan konsisten antara individu yang berbeza. Grafik dikatakan sebagai sumber penyampai maklumat yang amat berkesan kerana segala bentuk mesej yang diterima oleh manusia melalui penglihatan mereka dapat diterima secara terperinci dan ianya mempunyai daya ketahanan serta daya ingatan yang tinggi. Grafik berkomputer pula merujuk kepada sebarang imej yang dihasilkan menggunakan sebarang jenis komputer (PC, Macintosh, Silicon Graphicsdan sebagainya). Imej berkomputer ini boleh merujuk kepada imej yang mudah seperti garisan atau bulatan ataupun yang lebih kompleks seperti fractal iaitu imej kompleks yang dihasilkan oleh komputer dari formula atau kod pengaturcaraan yang tertentu. Jenis-jenis Grafik Grafik merujuk kepada pelbagai lukisan, ilustrasi, fotograf, rajah, carta, kartun dan sebagainya. • Fotograf (Gambar Foto) Merupakan antara paparan imej yang paling menyamai keadaan sebenar. Pita video warna, gambar berwarna mahupun foto hitam putih merupakan alat yang paling berkesan di dalam sesuatu komunikasi. Gambar foto atau fotograf berwarna juga memainkan peranan yang amat besar di dalam sesebuah persembahan dan boleh dijadikan latarbelakang bagi teks dan grafik. • Lukisan Merujuk kepada imej yang kurang realistik berbanding dengan fotograf. Namun demikian, ia banyak digunakan bagi menangani masalah ketiadaan fotograf bagi keadaan sebenar. Ia boleh jadi lukisan yang mudah sehinggalah kepada lukisan yang abstrak. • Kartun Sejenis lukisan yang berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Kartun boleh merujuk kepada yang berunsur kemanusiaan, haiwan, objek dan sebagainya. Ia sesuai digunakan terutamanya sekiranya kumpulan sasaran adalah kanak-kanak atau remaja. Kartun sering digunakan bagi menarik perhatian pengguna. Ia juga sering digunakan sebagai watak pengacara di dalam sesebuah aplikasi multimedia yang menbantu serta membimbing pengguna disepanjang perlajanan sesebuah aplikasi. • Diagram Diagram merujuk kepada sejenis lukisan yang digunakan bagi melambangkan sesuatu sepertimana yang asal. Contohnya diagram jantung mungkin mewakili sepertimana gambar jantung yang sebenar. • Graf/Carta Merujuk kepada kaedah berkomunikasi berunsurkan data dan numerik. Sesuatu maklumat yang kompleks dapat dimudahkan sekiranya ia ditukarkan ke bentuk carta atau graf. Perisian-perisian Grafik (i) Microsoft Paint atau Paint Brush (ii) Adobe Photoshop dan Adobe Illustrator (iii) Corel Draw (iv) Painter 3D (v) Macromedia Freehand (vi) Micrograft Designer (vii) Autucad

No comments: